Tuesday, August 16, 2011

Malaysia, China Perkukuh Kerjasama Pengajian Tinggi Dan Pelancongan

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Malaysia dan China bersetuju bekerjasama lebih rapat khususnya dalam bidang pengajian tinggi, pelancongan dan perubatan tradisional Cina.

Ia dicapai hasil rundingan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao, di sini Khamis.

"Perbincangan sangat produktif serta berhasil, dan kita mencapai persetujuan meluas selaras dengan pelan tindakan bersama mengenai kerjasama strategik yang ditandatangani pada 2009," kata Najib pada sidang akhbar bersama dengan Wen, yang berada di sini untuk lawatan dua hari bagi membalas kunjungan Najib ke China dua tahun lepas.

Ini merupakan lawatan kedua Wen ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak Asean-China pada 2005.

Mengenai bidang pengajian tinggi, Najib berkata Perjanjian Pengiktirafan Bersama yang ditandatangani pada Khamis antara Malaysia dan China, akan menjadi pemangkin ke arah meningkatkan lagi pertukaran penuntut antara kedua-dua negara.

"Perdana Menteri Wen mencadangkan supaya tahun depan 100 penuntut Malaysia melawat China dan 100 penuntut China berkunjung ke Malaysia, dan kita setuju dengan cadangan beliau ini," katanya.

Dalam bidang pelancongan, Perdana Menteri berkata, semakin ramai rakyat China melawat Malaysia dan ini merupakan satu perkembangan baik.

Tahun lepas, 1.1 juta pelancong dari China melawat Malaysia.

Najib berkata Wen bersetuju dengan cadangan Malaysia supaya sebuah pusat kecemerlangan perubatan tradisional Cina ditubuhkan di Malaysia.

Kerajaan China akan menyediakan apa saja bantuan yang sesuai kepada pusat itu, katanya.

Wen pula berkata China menyanjung tinggi peranan Malaysia dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Katanya Malaysia adalah antara pengasas Asean dan memainkan peranan aktif menggalakkan kerjasama Asia Timur selain memberikan sumbangan besar kepada kemajuan hubungan China-Asean.

"Dalam lawatan ini, kita telah menetapkan hala tuju bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala.

"Saya yakin dengan usaha kedua-dua pihak, hubungan China-Malaysia akan melonjak ke satu tahap lebih tinggi," kata Wen.

Sebelum itu, Najib meraikan Wen dalam jamuan tengah hari di Seri Perdana yang turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata walaupun Malaysia dan China terletak jauh antara satu sama lain, kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan, antaranya kesungguhan untuk memajukan ekonomi demi kepentingan rakyat.

Beliau memuji kepimpinan Wen dan perubahan yang dilakukannya untuk menjadikan China sebuah kuasa ekonomi.

"Saya yakin China akan menjadi perangsang kepada pertumbuhan ekonomi dunia," katanya.

Najib juga berkata Asia Timur akan terus menjadi zon ekonomi yang cergas, dan dalam hal ini, Asean, China dan negara-negara Asia Timur perlu bekerjasama bukan saja untuk memakmurkan rantau ini tetapi juga memastikan pertumbuhan ekonomi global akan berterusan.

Najib juga berkata beliau mendapati rakyat China sentiasa menghargai jasa orang lain, dan menyebut sebagai contoh bagaimana Wen mahukan supaya ibu beliau, Toh Puan Rahah, turut hadir dalam satu jamuan tidak rasmi malam tadi.

"Ini menunjukkan bagaimana anda menghargai sejarah hubungan dua hala kita yang bermula sejak 1974 apabila allahyarham ayahanda saya (perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein) membuat lawatan bersejarahnya ke Beijing.

"Itulah detik permulaan hubungan kita yang telah berkembang dengan begitu pesat.

"Saya tidak fikir allahyarham ayahanda saya dapat menjangka bagaimana keputusan yang dibuatnya pada 1974 itu telah membolehkan hubungan ini berkembang seperti yang kita dapat lihat hari ini," kata Najib.

Perdana Menteri berkata bahawa Muhyiddin dan Menteri Luar Datuk Seri Musa Aman baru saja kembali dari China dalam lawatan yang sangat berhasil.

Katanya lebih banyak lawatan di pelbagai peringkat akan membantu mengukuhkan lagi hubungan yang strategik dan penting ini.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment