Friday, February 8, 2013

KHUTBAH MAULID NABI (hayati isi dan resolusinya)

 MAULIDURRASUL S.A.W PEMANGKIN KESATUAN UMMAH

    السلام عليكم

    الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

    فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

    Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

    Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

     

    Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

    Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal:

    يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون

    Maksudnya :  Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

             Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w rasul bertuah, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah pada Tahun Gajah di bumi Mekah sebagai perubah kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain di mana yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah. Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terserlah dengan penghapusan kepada semangat kebangsaan sempit bersesuaian dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri sebagai rasul pembawa agama Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja sebagaimana nabi-nabi sebelum ini. Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Ka’abah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu al-Quran kalimah Allah. Manakala kelemahan umat Islam dapat dilihat juga dengan jelas apabila aqidah umat Islam dipecahkan sehingga ramai yang mengambil ideologi ciptaan kuffar sebagai pedoman hidup serta ramai di kalangan umat Islam menyuburkan kembali semangat kebangsaan yang sempit yang menyebabkan jurang pemisah mula timbul kembali setelah dihapuskan oleh Rasulullah s.a.w. Disamping itu umat Islam hanya menggunakan al-Quran sebagai bahan bacaan dalam mengejar pahala semata-mata sedangkan segala system yang terkandung dalam al-Quran yang turut melibatkan masalah pemerintahan, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan  terus diabaikan dan ada juga menerima pakainya tetapi dalam bab yang berkenan di hati sahaja. Inilah antara penyakit yang merbahaya yang timbul dalam masyarakat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah dengan pelbagai penyakit termasuk peperangan.

     

    Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

             Apapila menyebut tentang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w sebagai seorang rasul berjasa, pemimpin bijaksana, pendakwah setia, ketua keluarga mulia maka ia tidak dipisahkan daripada turut mengingati peristiwa bersejarah apabila Ka’abah Baitullah di Kota Mekah tempat tumpuan ummah dalam beribadat hampir diroboh oleh tentera bergajah pimpinan Abrahah  akibat daripada perasaan hasad dengki yang menguasai diri. Seorang pemimpin angkuh merasakan kedudukannya masih belum sempurna di singgah sana kerajaan Yaman selagi ramai umat manusia terus tertumpu ke Kota Mekah menziarahi Ka’abah rumah Allah walau pun beliau telah membina dan mewujudkan banyak pembangunan di Yaman untuk menarik perhatian ramai. Oleh itu tindakan nekad diambil iaitu Ka’abah mesti diruntuhkan maka suatu bala tentera yang besar dan kuat dikerahkan menuju ke Kota Mekah. Walau pun cuba dihalang tetapi keangkuhan dan kekuatan tentera bergajah pimpinan Abrahah  terus mara. Umat manusia pada masa itu termasuk kaum quraisy pimpinan Abdul Muttalib datuk nabi hanya mampu melihat sambil berlindung disebalik bukit agar tidak menjadi mangsa amukan tentera penceroboh yang ganas. Dalam masa yang begitu cemas masih terdetik di hati Abdul Muttalib untuk pergi bersama di Ka’abah bagi memanjat doa meminta pertolongan daripada Allah Yang Maha Kuasa agar menyelamatkan Ka’abah. Keyakinan bahawa Ka’abah ada pemiliknya iaitu Allah dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada adanya suatu kuasa yang lebih kuat dan hebat daripada tentera bergajah Abrahah iaitu kuasa Allah yang menyebabkan Allah menurunkan pertolongan dengan dihantarkan burung-burung kecil yang melontar batu beracun yang membawa kepada hancurnya kulit tentera Abrahah dan kemudiannya mereka mati dalam penuh kehinaan di dunia dan di akhirat nanti bakal menerima seksaan yang lebih dahsyat. Kekuatan Ka’abah sebagai punca kepada penyatuan  ummah terus berlangsung sehingga hari qiamat. Sebab itulah dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan umat Islam yang berpecah tetapi masih ada sinar harapan untuk kembali disatukan terutama setiap tahun ramai di kalangan umat Islam yang mewakili bangsa dan negara datang berkunjung Baitullah di Mekah dalam menunaikan ibadat fardhu haji yang sedikit sebanyak dapat meniupkan semula ruh persaudaraan berdasarkan aqidah yang satu. Maka tidak hairanlah adanya suara bacul daripada pengganas yahudi mencadangkan agar Ka’abah dibom bagi memastikan umat Islam terus berpecah tanpa ada di sana suatu titik untuk kembali bercantum.

             Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika pada hari ini yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman. Cuma kekuatan Amerika adakah terus dapat bertahan bagi meneruskan keganasan atau akan dihancurkan penuh kehinaan sebagaimana tentera bergajah Abrahah. Kita dapat lihat bahawa dunia sudah tidak dapat menerima keganasan Amerika yang tidak menghormati kawan dan lawan sehingga timbulnya pakatan baru terutama dari segi persenjataan antara Perancis, Jerman dan Russia dalam menangani masalah Amerika yang mahu ianya sahaja yang berkuasa di atas dunia pada hari ini. Keganasan tidak dapat dielakkan apabila ada kuasa besar yang tamak dan bongkak yang bertindak sesuka hati tanpa peraturan dan ia akan hancur lebih cepat sebagaimana hancurnya kuasa Rom dan Parsi sebelum ini akibat perkara yang sama.

            

    Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

             Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah s.a.w. Sempena menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal ini maka seluruh umat Islam bukan sahaja menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w tetapi mesti bertindak segera dalam mengikuti segala yang telah dilaksanakan oleh nabi kita dalam mengembalikan semula kegemilangan dan kemuliaan umat Islam. Biarlah perasaan gembira yang kita gambarkan dalam mengadakan sebarang majlis Maulidurrasul sama keadaannya antara perasaan pada zahir dan batin bukannya pada zahir kita begitu gembira menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w sedangkan pada batinnnya umat Islam sedang menangis hiba akibat dijajah dan diperangi oleh musuh akibat kesilapan dan kesalahan mereka sendiri. Permintaan ulama’ agar amalan dasar kuku besi oleh pemimpin di negara umat Islam perlu  dihentikan segera mestilah disahut dengan penuh ikhlas oleh semua pemimpin agar umat Islam dapat disatukan kembali atas dasar Islam. Tiada gunanya pemimpin  bermati-matian memerangi pejuang Islam dalam negara atas alasan pengganas disamping berusaha menghapuskan pusat pengajian agama, membuang masalah jihad daripada mata pelajaran kerana ini semua akan merugikan umat Islam. Sedarlah bahawa umat Islam lebih mudah dijajah apabila tiada kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam dan masalah jihad. Sebenarnya pengajian agama dan masalah jihad bukan penyebab kepada kemunduran, pengangguran dan juga keganasan tetapi agama dan jihad adalah perkara yang menggerunkan musuh Allah terutama Yahudi dan Kristian yang menyebabkan mereka menekan pemimpin negara umat Islam agar segera menghapuskannya. Musuh Allah tidak akan berhenti daripada menyerang umat Islam sekali pun pemimpin telah menghapuskan pengajian agama dan masalah jihad. Oleh itu kurangkan perpecahan antara umat Islam dan tumpukan perhatian untuk bersatu di bawah panji Islam dari semua segi. Jangan sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar yang sememangnya sentiasa mencari jalan untuk melagakan umat Islam. Kenyataan seorang yahudi yang menyatakan bahawa hanya 2 agama sahaja yang akan ada di atas muka bumi iaitu yahudi dan Kristian kerana Islam akan dihancurkan lebih-lebih lagi umat Islam sudah lemah di mana dalam setiap peperangan terbaru maka Islam akan kalah. Kata-kata penghinaan ini mesti disahut oleh seluruh umat Islam dengan kembali bersatu atas dasar iman dan Islam serta berkorban dengan seluruh kemampuan yang ada dalam mempertahankan Islam. Islam tidak sama sekali hancur tetapi hanya pejuang Islam yang sentiasa bertukar silih berganti sehingga datangnya kemenangan daripada Allah. Ingatlah kita bahawa jika kita tidak mahu memperjuangkan Islam maka Allah mempunyai orang lain untuk memperjuangkannya dan umat Islam yang tidak mahu berjuang tadi akan dihancurkan oleh Allah dengan penuh kehinaan di dunia dan akhirat.

    Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :
    إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولاتضروه شيئا والله على كل شىء قدير

    Maksudnya : Jika kamu tidak turut serta berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantikan kamu dengan suatu kaum yang lain dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

     

    Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

             Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berupa takhta dan harta yang semuanya berbentuk sementara. Yakinlah kepada janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Islam kan subur tatkala kuffar semakin hancur, Islam kan menang ketika kuffar mula keletihan, Islam kan berdiri gagah ketika kuffar semakin lemah, Islam kan kembali merajai dunia ketika kuffar jatuh penuh hina.

             Ingatlah firman Allah   ayat 14 surah as-Sof :

    يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين

    Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang.

    بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
HANYA RENUNGAN BERSAMA

Sayidina Ali karramallahu-wajhah pernah berpidato suatu masa, katanya:

Ketahuilah, bahawa kamu semua akan mati, dan dibangkitkan sesudah mati. Kamu akan ditanya dari hal amalan-amalan kamu dan akan dibalas terhadap kesemuanya, maka jangan sampai kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia kerana yang demikian itu diserikan dengan berbagai-bagai bala bencana yang tetap akan menarik kamu kepada kebinasaan. 

Semua yang ada pada dunia itu adalah tipudaya semata dan dia akhirnya akan hilang lenyap, bila dia berada denganmu dia adalah penuh tipu muslihat, kesenangannya tidak kekal, dan tiada seorang pun akan selamat dari kejahatannya. Sementara penghuninya dalam keadaan gembira dan sukacita tiba-tiba ditimpa bahaya dan bencana, hal-ehwalnya berubah-ubah tidak tetap, kehidupannya tercela dan kemewahan di dalamnya mempunyai cita-cita yang tak menentu maka dunia akan melemparnya dengan anak panah lalu membinasakannya. Semua orang akan mati mengikut takdir dan ketentuan, tidak lebih dan tidak kurang.

Ketahuilah, wahai hamba-hamba Allah, bahawasanya kamu dan apa yang kamu rasakan dari dunia ini adalah sama sahaja dengan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang terdahulu dari kamu, malah umur mereka lebih panjang dari kamu, kekuatan mereka lebih teguh dibandingkan dengan kamu, rumah mereka lebih kukuh, bekas yang ditinggalkan mereka masih kelihatan sampai sekarang, namun suara-suara mereka tidak kedengaran lagi sesudah laungannya bergema begitu lama, tubuh-tubuh mereka hancur luluh, rumah-rumah mereka yang berupa pondok-pondok sudak tidak kelihatan lagi sedang bekas-bekasnya masih tinggal dan terlihat. 

Mereka kini telah berubah dari tempat tinggal yang berupa istana-istana yang terindah dengan katil-katil yang terseri dengan bantal-bantalnya yang empuk, bangunan-bangunannya yang tersusun dengan batu-bata yang kilau-kemilau, sekarang berganti kubur-kubur yang berselerak dengan tulang-belulang yang hancur-luluh sebagai tempat tinggalnya orang-orang terbuang yang sangat ditakuti untuk didekatinya, mereka tidak merasa senang lagi dengan perubahan pembangunan yang ada di sisinya, dan tidak berhubung mesra dengan jiran tetangga yang sibuk memakmurkan sekitarannya dengan bangunan dan perubahan di antara teman dengan teman padahal mereka hanya sejengkal sahaja dari tempatnya.

Bagaimana dapat mereka berhubung mesra lagi? Padahal tubuh badan mereka telah dimakan masa, tulang belulang mereka berselerak merata-rata, mereka dahulu hidup gagah sekarang bangkai tidak bernyawa, hidup mereka dahulu mewah sekarang hampa belaka, orang yang rapat menjauhkan diri setelah mereka tinggal di bawah tanah sendiri, mereka tidak akan kembali lagi, jauh panggang dari api.

"Bahkan itulah satu perintah yang telah ditetapkan Tuhan Perkasa, dan di belakang mereka Barzakh, mereka kekal di situ hingga hari mereka dibangkitkan." (Al-Mu'minun: 100)

Mudah-mudahan Allah menggolongkan kami dan kamu dalam kumpulan orang-orang yang beramal dengan isi kitabNya serta menurut jejak langkah para Auliya'Nya sehingga Dia menempatkan kami dan kamu sekalian di dalam syurga yang kekal abadi dengan kurniaNya, sesungguhnya Dia Maha Terpuji Maha Mulia.

Berkata Sayidina Ali karramallahu-wajhah dalam pidatonya:

Aku berpesan kepada kamu supaya banyak bertaqwa kepada Allah dengan membelakangi dunia yang akan meninggalkan kamu meskipun kamu tidak mudah untuk meninggalkannya. Dunia akan menghancur-luluhkan tubuh kamu sedang kamu terus ingin memperbaharuinya. Hanyasanya perumpamaan kamu dengan dunia itu adalah ibarat sekumpulan manusia yang dalam pelayaran, mereka telah melalui satu jalan dan mereka menyangka telah melewatinya, mereka bergantung kepada satu pengetahuan yang mereka ingat telah sampai kepadanya. Betapa ramai orang yang berlari yang sampai ke kemuncaknya, dan betapa ramai orang yang mengharap panjang pada dunia tiba-tiba terpaksa berpisah dengannya. Oleh itu jangan sekali-kali kamu merungut kerana keburukan dunia dan kesusahannya, dan jangan sekali-kali kamu merasa sukaria kerana harta-benda dunia dan kenikmatannya, semua itu akan hilang lenyap daripadamu. Aku rasa hairan melihat orang yang mengejar dunia sedang maut mengikutinya dari belakang. Dia sentiasa lalai yang dirinya akan mati, tidak pernah ingat yang mati itu akan menimpanya.

Isi surat dari Sayidina Ali kpd Salman Al-Farisi:
"Dunia itu adalah seumpama ular, lembut sentuhannya, tetapi bisanya mematikan, maka berpalinglah anda dengan menjauhkan diri dari semua sesuatu yang menimbulkan kekaguman anda padanya (dunia) kerana (akan menjadi) sedikit sesuatu yang menyertai anda dari (bahaya) dunia itu."

Kalimat Saiyidina Ali ini merupakan peringatan kpd Salman Farisi pada khususnya dan ummat Islam pada umumnya ttg hakikat pangkat keduniaan. Bukan tidak boleh kita menduduki pangkat keduniaan itu, tetapi beliau memperingatkan supaya pada kita ada ketahanan mental atau ketahanan bathin, sehingga kita dapat mengendalikan pangkat keduniaan itu demi utk keselamatan kita di dunia dan akhirat. Apabila ketahanan mental atau bathin kita tidak ada dalam diri kita, maka kita akan terpengaruh dari kekaguman kita terhadap dunia yang sedang kita pegang.

Oleh sbb itu maka keimanan kpd Allah subhanahu wa ta`ala yang kuat dan mantap adalah sangat diperlukan, sehingga kesusahan dunia dengan segala kepahitannya dapat diatasi, kerana pangkat dunia yang sedang kita hadapi ini adalah berjalan atas niat yang baik, yakni mencari keredhannya dalam erti yang luas.

Pertanyaan sebahagian sahabat kpd Rasulullah aollallahu `alaihi wasallam dalam Hadis Nabi sebagai berikut:
"Siapakah wali-wali Allah yang tidak takut dan gundah? Nabi sollallahu `alaihi wasallam menjawab: Ialah orang-orang yang selalu memperhatikan bathin dunia pada ketika manusia memperhatikan lahiriah dunia. Dan mereka itu pula mementingkan lahiriah dunia pada ketika ummat manusia mementingkan dunia di waktu sekarang."

Dari Hadis ini, bahawa wali-wali Allah meskipun mereka memegang dunia, apakah mereka merupakan sebagai raja atau seorang yang kaya, mereka itu tidak melihat kepada lahiriah dunia, tetapi mereka melihat kpd bathin dunia itu dan hakikatnya. Sebab mereka mengetahui, bahawa dunia itu tidak abadi, tetapi hanya sebentar sahaja. Sedangkan yang abadi adalah faedah yang mereka dapatkan daripada menempatkan dunia itu pada tempatnya dalam erti 'sebagai alat utk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala'

Berlainan dgn manusia biasa, mereka berlumba-lumba mencari keuntungan dunia sekarang juga tanpa memikirkan keridhaan Allah pada pekerjaannya itu. Sedangkan wali-wali Allah melihat kpd penglihatan yang jauh, yakni masa-masa setelah kita berpisah dengan dunia yang fana', mulai dari alam barzakh hingga sampai ke alam akhirat yang kekal lagi baqa.